Langkau ke kandungan
✳ tempat aku kongsi cerita, pengalaman dan benda menarik dalam hidup
← Balik ke semua cerita
Life Is Short

Jom ke Georgia 10-12 hari

Sejak kebelakangan ni aku memang tengah survey destinasi untuk next family trip.

Mula-mula terfikir nak ke Turki. Lepas tu berubah plan nak buat Balkan trip — Bosnia, Montenegro dan Albania.

Tapi bila kira balik kos untuk 4 orang, nampak macam boleh jadi agak tinggi kalau nak bergerak banyak negara dalam satu trip.

Budget aku simple je.

RM30,000 untuk 4 orang, termasuk tiket flight, hotel, makan, transport dan aktiviti.

Tempoh lebih kurang 10–12 hari.

Dalam proses survey tu, satu negara yang tiba-tiba menarik perhatian aku ialah Georgia.

Dan lagi aku baca pasal Georgia, lagi rasa macam…

Eh, tempat ni actually menarik juga.

Kenapa Georgia?

First sekali sebab aku memang cari tempat yang agak sejuk.

Kalau pergi sekitar April hingga awal Mei, cuaca di bandar macam Tbilisi dah masuk musim bunga.

Tapi bila naik ke kawasan pergunungan Caucasus seperti Gudauri dan Kazbegi, cuaca masih boleh jadi sejuk dan kawasan tinggi masih ada kemungkinan nampak salji.

So dalam satu trip kita boleh dapat dua suasana.

Bandar lama, cuaca nyaman dan pemandangan hijau di bawah.

Kemudian naik ke gunung, terus dapat scenery Caucasus yang penuh dengan puncak bersalji.

Untuk aku yang memang suka nature, memang kena dengan taste.

Rupanya Georgia Pun Ada Sejarah Islam

Ini yang buat aku lagi curious.

Sebelum ni bila sebut Georgia, aku memang bayangkan negara Kristian Ortodoks, gereja lama dan Caucasus Mountains.

Tak sangka sebenarnya Islam dah sampai ke kawasan Georgia sejak sekitar abad ke-7.

Tbilisi sendiri pernah berada di bawah pemerintahan Islam selama beberapa abad.

Sekitar abad ke-8, wujud pemerintahan yang dikenali sebagai Emirate of Tbilisi, sebelum bandar tersebut kembali dikuasai kerajaan Georgia pada tahun 1122.

Maksudnya sejarah Islam di situ bukan benda baru.

Dah lebih seribu tahun.

 

Juma Mosque di Old Tbilisi

Antara tempat yang aku confirm nak singgah kalau jadi ke Georgia nanti ialah Juma Mosque di Tbilisi.

Masjid ni terletak dalam kawasan Old Tbilisi, tak jauh daripada Narikala Fortress.

Yang menariknya, masjid ini digunakan oleh komuniti Muslim Sunni dan Syiah.

Bagi aku benda macam ni memang menarik bila travel.

Bukan sekadar datang ambil gambar tempat cantik, tapi kita dapat faham bagaimana sejarah, agama dan budaya bertembung dalam satu bandar.

Old Tbilisi sendiri nampak menarik.

Jalan kecil berbatu, rumah lama dengan balcony, masjid, gereja, bath house dan kawasan kota lama semuanya berada berdekatan.

Jenis tempat yang best kalau jalan kaki tanpa rushing.

Batumi dan Pengaruh Uthmaniyah

Kalau nak explore sejarah Islam dengan lebih jauh, satu lagi tempat ialah Batumi.

Batumi terletak di bahagian barat Georgia, menghadap Laut Hitam.

Di situ terdapat Orta Jame Mosque, sebuah masjid yang dibina pada abad ke-19 ketika kawasan tersebut masih berada di bawah pemerintahan Uthmaniyah.

Kawasan Adjara, tempat Batumi berada, memang mempunyai sejarah komuniti Muslim yang agak kuat.

Cuma Batumi agak jauh daripada Tbilisi.

Kalau drive boleh ambil sekitar lima hingga enam jam.

Jadi untuk trip 10–12 hari, aku kena decide sama ada nak masukkan Batumi sekali atau fokus kepada Tbilisi dan kawasan Caucasus.

Gudauri — Nak Cari Salji

Kalau family trip, aku rasa Gudauri antara tempat yang wajib masuk itinerary.

Gudauri merupakan kawasan resort pergunungan di Caucasus Mountains.

Kalau datang waktu winter memang penuh dengan salji.

Tapi sekitar April, kawasan gunung masih berpotensi mempunyai snow bergantung pada keadaan cuaca tahun tersebut.

Aku bukanlah target nak ski sangat.

Cukup dapat bawa anak-anak merasa cuaca gunung, naik cable car dan tengok sendiri pemandangan Caucasus pun dah puas hati.

Kadang-kadang bila travel, benda simple macam tu yang paling kita ingat.

Kazbegi — Ini Yang Aku Paling Excited

Selepas Gudauri, boleh sambung perjalanan ke Kazbegi, atau sekarang lebih dikenali sebagai Stepantsminda.

Kalau tengok gambar memang cantik.

Sebuah pekan kecil yang dikelilingi gunung besar Caucasus.

Antara view paling terkenal ialah Gergeti Trinity Church yang terletak di atas bukit dengan Mount Kazbek di belakangnya.

Walaupun gereja tu bukanlah tempat yang berkaitan dengan sejarah Islam, aku tetap suka tempat-tempat bersejarah macam ni.

Bagi aku travel bukan bermaksud kita hanya melawat sejarah kita sendiri.

Kita pergi untuk faham sejarah tempat orang.

Dan biasanya bila kita faham sejarah mereka, kita lebih mudah faham sejarah dunia secara keseluruhan.

Itinerary Kasar Georgia Yang Aku Tengah Bayangkan

Kalau jadi buat trip ni, aku rasa itinerary lebih kurang begini.

Tbilisi — 3 hingga 4 malam

Explore Old Tbilisi, Juma Mosque, Narikala Fortress, Sulphur Bath area, pasar tempatan dan kawasan bandar.

Gudauri — 2 malam

Santai, naik cable car dan menikmati suasana Caucasus Mountains.

Kazbegi — 2 malam

Explore kawasan gunung, Gergeti Trinity Church dan pekan Stepantsminda.

Selepas tu mungkin ada dua pilihan.

Sama ada sambung ke Borjomi untuk nature dan kawasan hutan.

Atau kalau masa dan bajet mengizinkan, terus ke Batumi untuk tengok pula sejarah Islam dan pengaruh Uthmaniyah di kawasan Adjara.

Kemudian kembali ke Tbilisi untuk satu malam sebelum flight balik.

Lebih kurang 10–12 hari.

Aku rasa cukup.

Tak perlu kejar terlalu banyak tempat sampai penat packing beg setiap hari.

Berapa Budget Untuk Georgia?

Ini sebenarnya cabaran utama aku.

Target aku masih sama.

Maximum RM30,000 untuk family 4 orang.

Aku cuba pecahkan secara kasar:

Flight 4 orang: RM10,000–RM12,000

Hotel / apartment: sekitar RM4,000

Transport dan day trip: sekitar RM4,000–RM5,000

Makan minum: sekitar RM2,500–RM3,000

Aktiviti, insurance dan miscellaneous: sekitar RM1,500–RM2,000

Kalau pandai cari tiket dan book awal, aku rasa trip ni masih boleh dibuat dalam lingkungan RM25,000–RM28,000.

Masih ada sedikit buffer sebelum sampai limit RM30,000.

Untuk hotel pula aku lebih prefer ambil apartment.

Family empat orang biasanya lagi selesa.

Ada ruang besar, kadang-kadang ada dapur dan mesin basuh.

Kalau travel lebih seminggu, benda macam ni memang sangat membantu.

Self-Drive, Private Driver Atau Public Transport?

Ini satu lagi benda yang aku masih survey.

Untuk Tbilisi sendiri, rasanya tak perlu kereta.

Banyak tempat boleh explore menggunakan public transport, taxi atau jalan kaki.

Tapi bila nak naik ke Gudauri dan Kazbegi, kereta memang lebih mudah.

Pilihan aku mungkin sama ada:

Sewa kereta sendiri kalau route dan keadaan jalan sesuai.

Atau…

Hire private driver untuk beberapa hari sahaja bagi trip ke kawasan pergunungan.

Aku rasa tak berbaloi nak bayar private driver sepanjang 10–12 hari kalau sebahagian besar masa kita duduk dalam bandar.

Georgia Sesuai Tak Untuk Muslim Traveller?

Daripada apa yang aku survey setakat ni, rasanya tak ada masalah besar.

Tbilisi mempunyai komuniti Muslim dan beberapa masjid.

Makanan halal pula boleh dicari terutama di bandar besar.

Cuma macam biasa bila travel ke negara yang bukan majoriti Muslim, kita kena buat sedikit homework awal.

Aku biasanya akan save dulu beberapa restoran halal berhampiran hotel dan tempat-tempat yang kita nak pergi.

Senang nanti tak perlu pening fikir nak makan apa setiap hari.

Kenapa Aku Rasa Georgia Menarik?

Aku rasa Georgia berada di tengah-tengah antara beberapa jenis pengalaman.

Nak rasa suasana Eropah — ada.

Nak gunung dan nature — ada.

Nak cuaca sejuk — ada.

Nak sejarah — memang banyak.

Nak cari sejarah Islam — rupanya ada juga.

Makanan pula nampak menarik dan kos travel masih belum sampai tahap negara-negara Eropah Barat.

Dan satu lagi yang aku suka…

Georgia bukanlah destinasi yang terlalu mainstream untuk rakyat Malaysia.

Sekurang-kurangnya bila buka passport nanti, ada juga cop negara yang lain sikit.

Hahaha.

Georgia 2027?

Buat masa ni aku masih survey lagi flight, route terbaik, hotel dan transport.

Tapi daripada semua destinasi yang aku tengok setakat ni, Georgia memang dah naik tinggi dalam shortlist.

Mungkin next trip family…

Georgia 2027?

Kita tengok macam mana.

Kalau ada yang pernah pergi Georgia, especially yang pernah bawa family atau road trip sendiri, boleh share experience.

Aku nak tahu juga — better self-drive, hire driver atau guna public transport?

Thanks sebab singgah baca. Jumpa lagi dalam cerita seterusnya. ☕

Jom berbual

Tinggalkan komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *